Thursday, 21 November 2013

The beauty that makes heart moves


 Kisah anak bekas Presiden ABIM Ahmad Ammar yang meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya. Kematiannya mengingatkan saya pada satu lagi pelajar Malaysia yang meninggal meninggal ketika belajar di luar negara. Yang saya maksudkan ialah Mas Afzal Masarudin seorang pelajar perubatan di UK. Namun dia meninggal bukan kerana kemalangan jalanraya tetapi akibat kanser. Sama saperti arwah Ahmad Ammar, arwah Mas Afzal juga meninggal ketika zaman remajanya dipenuhi dengan program usrah, dakwah dan kegiatan kesukarelawan dalam membantu umat islam sejagat terutamanya nasib rakyat Palestin. Saya pernah bertemu dengan ibu dan ayahnya menyatakan minat saya untuk mengangkat kisah hidup Mas Afzal dalam drama tv. Malah saya mencadangkan agar kisah hidup Mas Afzal dibukukan juga agar zaman remajanya yang penuh dengan aktiviti usrah, dakwah dan kerja kesukarelawan islam sejagat dapat dijadikan contoh teladan kepada para remaja. "We should bring out the beauty in arwah as a person that makes peoples heart moves" kata saya pada ibu dan ayah arwah. Ayat itu menyebabkan ibu dan ayahnya menangis teresak-esak hingga kami terpaksa berhenti berbual selama 5 minit. 

Kata ibunya arwah anaknya itu di diagnos mengidap kanser ketika dia belajar di UK. Untuk menghilangkan kerinduan pada ibu dan ayahnya jauh di tanah air, arwah telah menulis blog. Blog itu asalnya ditulis untuk menceritakan perkembangan kesihatannya pada ibu dan ayahnya. Tapi blog itu akhirnya menjadi ikutan pada ribuan pelajar-pelajar di luar negara terutamanya dari kalangan para pelajar perubatan Malaysia di seluruh dunia. Selepas arwah meninggal dunia pada 18 Dec 2010 ibunya pula mengambil inisiatif menyambung blog itu. Saya sempat membaca keseluruhan blog itu hingga saya mengalirkan air mata. Blognya banyak bercerita tentang penyakit dan perasaannya. Namun membacanya saperti membaca sebuah naskah genre keagamaan yang mendidik jiwa para pembaca blognya. Tapi itu dua tahun dulu ketika saya berjumpa dengan kedua ibu bapa arwah di Secret Recipe di Putrajaya. Pagi tadi saya bangun awal jam 2.00am dan tiba-tiba teringatkan blog Mas Afzal 'NOT THE PROMISE PATH' yang kali terakhir saya baca kira-kira setahun dulu. Saya terkejut dan terharu melihat ibunya masih menulis untuk menyambung blog arwah anaknya. 

Post terakhirnya MEMORIES ialah pada 12 Oktober 2013 lepas yang ditulis bersempena tahun kelahiran Mas Afzal pada 1984. Kisah biographi kehidupan arwah Ahmad Ammar dan Mas Afzal ini patut dibukukan agar kisah hidup mereka yang dihiasi dengan usrah, dakwah dan kerja kesukarelawan Islam sejagat ini boleh dijadikan role model oleh para remaja. Saya sebenarnya sudah pun siap mengumpul bahan dan menulis manuskrip tentang kehidupan Mas Afzal. Kepada mana-mana penerbit yang berminat menerbitkannya sila PM saya. Saya tidak akan kenakan sebarang bayaran. Malah kedua ibu dan ayah arwah juga telah niatkan jika ada royalti pada penerbitan buku itu maka mereka mahu mendermakannya kepada Majlis Kanser Negara (MAKNA). Kedua remaja ini mati dalam usia yang masih muda tapi kisah perjalanan hidup mereka berdua memberi kehidupan pada jiwa kita yang lalai. Jangan rosakkan remaja dengan mengimport kumpulan k-pop mengadakan persembahan di Putrajaya atas alasan bodoh untuk menarik remaja meraikan umur belia mereka.



No comments: