Friday 3 June 2011

keperibadian baginda ~RASULULLAH ~



“sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah” (al-Ahzab:21)
Daripada ayat ini jelas menunjukkan bahwa Nabi Muhammad s.a.w itu adalah teladan, dan ‘role model’ untuk semua umat Islam.
Rasulullah menyarankan setiap muslim sentiasa menjaga kebersihan anggota mulut dan tempat-tempat yang boleh menghasilkan bau yang tidak menyenangkan. Apabila Saidatina Aisyah ditanya tentang perbuatan yang dilakukan dahulu oleh Rasulullah apabila baginda masuk ke dalam rumah, beliau menyatakan bahawa baginda akan bersiwak (membersihkan gigi dan mulut). Ini dinyatakan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Muslim:
Saidatina Aisyah pernah ditanya tentang  kerja apakah yang mula-mula dilakukan oleh Rasulullah SAW apabila baginda memasuki rumah baginda. Beliau menjawab : baginda akan bersiwak.
Rasulullah juga melarang mereka yang baru sahaja memakan makanan yang menimbulkan bau mulut daripada memasuki masjid.
“barangsiapa yang telah makan bawang merah atau bawang putih dan kurrath maka jangan sesekali menghampiri masjid kami. Ini kerana malaikat akan turut rasa tidak senang dengan perkara yang tidak disenangi oleh anak Adam”
Imam Nasa’i telah meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW telah datang menziarahi mereka. baginda telah terpandang kepada lelaki yang berpakaian comot dan kotor, lalu baginda bersabda yang bermaksud :
“tidakkah orang itu mendapati sesuatu (air) untuk mencuci pakaiannya”
Rasulullah juga sangat mementingkan gaya kekemasan rambut seseorang lelaki.
“rasulullah SAW sedang berada dalam masjid lalu seorang lelaki yang rambut dan janggutnya panjang tidak terurus. Baginda telah mengisyaratkan dengan jarinya kepada lelaki itu seolah-olah baginda menyuruhnya mengemaskan rambut dan janggutnya. Lelaki itu melakukan apa yang disuruh oleh Rasulullah SAW itu dan kemudian kembali semula masuk ke masjid. Baginda telah bersabda : Bukankah ini lebih baik daripada salah seorang kamu datang dalam keadaan rambut yang tidak terurus seperti syaitan.” (Riwayat Muslim)
Satu lagi riwayat Bukhari dan Muslim
“lima perkara termasuk dalam fitrah manusia : berkhatan, mencukur bulu, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai”.
Rasulullah memandang kecantikan dan kekemasan sebagai satu simbol untuk menyatakan dan melahirkan nikmat Allah kepada manusia. Sabda baginda yang bermaksud :
“sesungguhnya Allah sangat suka melihat kesan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya” (Riwayat Tarmizi dan al-Hakim)