Masing-masing telah pergi menghadap Ilahi dalam usia 20
tahun pada tahun 2013. Luangkan sedikit masa untuk menghayati kisah mereka
berdua. Semoga ia bermanfaat untuk kita bersama.
~Ahmad Ammar Bin Ahmad Azam~
Beliau digelar oleh sahabat-sahabatnya sebagai “Syahid yang
tertangguh”. Ahmad Ammar Ahmad Azam telah pergi menemui Tuhannya pada usia 20
tahun di dalam kemalangan jalan raya 2 Nov 2013 di Istanbul, Turki.
Beliau memilih bidang sejarah di Universiti Marmara dengan
mendapat biasiswa Kerajaan Turki. Semangatnya untuk mendalami sejarah
Uthmaniyyah dan melihat Kerajaan Islam kembali tertegak selari dengan cita-cita
ayahanda dan bondanya.
Sememangnya beliau dilahirkan di dalam keluarga yang
mementingkan ilmu, ibadah, dakwah dan pengorbanan. Ayahandanya Tuan Haji Ahmad
Azam Abdul Rahman, mantan Presiden Abim sudah tidak asing lagi bagi para
pendakwah dan gerakan Islam di Malaysia. Ahmad Ammar satu-satunya anak lelaki
kepada pasangan Tn. Hj Ahmad Azam Abdul Rahman dan Puan Nur Azlina Aziz.
Sungguh bagi remaja semuda Ammar, untuk mendengar alunan
Quran sebagai halwa telinga mungkin menjadi pilihan yang terakhir sekali. Namun
tidak untuk Ammar. Beliau dikhabarkan keluar rumah setelah membaca al-Quran
dalam tempoh yang panjang.
Malah pada usia semuda itu beliau telah menyertai pelbagai misi
kemanusiaan di beberapa negara di dunia. Misi ke Syria begitu menyayat hati,
seolah-olah Ammar tertinggal hatinya di Syria.
Meskipun letupan demi letupan meletus di kiri dan kanan
malah terlalu hampir dengan hospital tempat penginapan mereka, namun Ammar
teguh tidak gentar ingin terus membantu Syria. Allahu Akbar! Sejak pulang dari
Syria itulah sahabat-sahabat menggelarnya “Syahid yang Tertangguh”.
Alangkah bertuahnya ayahanda dan bonda beliau kerana dapat
menyaksikan sendiri perjalanan terakhir seorang anak dengan pengakhiran yang
baik. Ribuan manusia memenuhi Masjid Abu Ayyub al-Ansari, malah dimakamkan
berhampiran sahabat agung Rasulullah saw iaitu Abu Ayyub al-Ansari yang
berjihad untuk membebaskan Konstantinopel dahulu.
Seorang sahabat menulis, Ammar adalah “Muhajir” dan menjadi
tetamu kepada Abu Ayyub al-Ansari. Subhanallah indahnya “tawafuk” yang disusun
Allah dan bukan kebetulan. Sekiranya kita masih mengingati sejarah hijrah
Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah, bukankah Baginda Rasulullah s.a.w
menjadi tetamu di rumah Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari? Bukankah unta baginda
s.a.w dengan hidayah Allah telah memilih rumah Abu Ayyub al-Ansari tidak yang
lain?
Secara simboliknya Ahmad Ammar Ahmad Azzam berhijrah
menuntut ilmu dari Malaysia ke Turki seperti hijrahnya Baginda s.a.w dari
Makkah ke Madinah.
Taqdir Allah menentukan Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari
terpilih untuk memuliakan Rasulullah s.a.w di rumahnya, begitu jugalah Ahmad
Ammar menjadi tetamu kepada Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari di permakaman Eyup,
Turki. Inilah rezeki beliau yang pastinya amat menggembirakan ayahanda dan
bondanya yang kesedihan.Janji Allah amat jelas di dalam ayat 100 surah
al-Nisa’:
“…Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan
berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati, maka sesungguhnya telah
tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.”
Subhanallah, pada pagi kejadian, Ammar keluar menuju rumah
pelajar-pelajar baru dari Asia Tenggara dengan semangat untuk berkongsi ilmu
dan bermuzakarah Rasail Nur karangan Imam Bediuzzaman Said Nursi. Malah catatan
terakhirnya dan di masukkan ke dalam beg sandang beliau berbunyi:
“Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya
Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu, maka itu tidak
penting. Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh makhluk menolak
maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun… Kerana itu lah sepatutnya hanya redha
Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama di dalam khidmat dakwah ini.”
Namun seperti yang dicatatkan ayahandanya Tn. Hj. Azam
beliau sempat melintasi jalan, namun kehilangan imbangan badan dan terjatuh
lalu dirempuh sebuah ambulan. Beliau pergi pada usia 20 tahun, penuntut tahun
dua Universiti Marmara.
Beliau amat rindukan syahid. Rupa-rupanya Ahmad Ammar ini
telah pun menyaksikan bidadarinya sehingga beliau tidak lagi menoleh ke kiri
atau ke kanan dalam mengejar cita-citanya. Beliau terus berkhidmat untuk
berdakwah dan tekun beramal sehingga pada tarikh itu berakhirlah tugasan beliau
di bumi yang fana ini.
Alhamdulillah kerana Allah dengan kasih sayang-Nya masih
memelihara agama ini dengan adanya remaja-remaja seumpama Ammar. Masya Allah
Tabarakallah!
"Kematian Ahmad Ammar telah menyentuh satu bahagian
dalam diri saya yang tak mampu disentuh oleh tasawwuf mahupun rasional. Bukan
hati dan bukan akal. Tetapi sesuatu. Saya yang fakir perkataan, menamakannya
sebagai 'ammar'." - Ust Hasrizal
~Siti Hajar Binti Ahmad Sabir~
Mujahidah yang bernama Siti Hajar Binti Ahmad Sabir .
Allahyarhamah adalah seorang pelajar UTEM dan telah pulang ke rahmatullah pada
20 Januari 2013 dalam usia 20 tahun setelah bertaruh nyawa selama 2 minggu di
hospital akibat kemalangan bersama 3 orang sahabatnya . Di bawah ini kronologi
hari-hari terakhirnya yang ditulis sendiri oleh ibunya iaitu Puan Nuraini Che
Mat .
6 Jan 2013 (Ahad)
Kami dapat panggilan telefon mengatakan Hajar kemalangan.
Segera bergegas ke Hospital Besar Melaka. Ramai pelajar UTEM sedia menunggu
berita kemalangan itu.
7 Jan 2013 (Isnin)
Hajar dimasukkan ke wad ICU Mawar. Pegawai HEPA UTEM mula
membuat lawatan.Doktor mencadangkan pembedahan segera dilakukan. Masalah
kewangan mula berbangkit, wang kami tidak mencukupi’
8 Jan 2013 (Selasa)
Gerakan mengumpul derma utk pembedahan Hajar berjalan
lancar. Pembedahan dilakukan pada pukul 1 tengahari. Pukul 6 ptg, pembedahan
selesai.
9 Jan 2013 (Rabu)
Kesihatan Hajar baik sebelah pagi tapi merosot sedikit
menjelang petang. Tekanan darah mula turun, lalu ubat untuk menaikkan tekanan
darah segera diberikan. Muka dan badan mula sembab sebab dah 2 hari hanya drip
air tanpa makanan. Sebelah petang, susu disalurkan ke perutnya melalui tiub.
Walaupun tulang belakang telah di betulkan kedudukannya, saraf tunjang tetap
telah tercedera dan kita menunggu dan berharap kekuasaan Allah Ke atas Hajar
berkat doa semua sahabat di dalam dan di luar negara.
10 Jan 2013(Khamis)
Selepas Subuh tadi, kami lawat dia dan bacakan ayat2 suci
dan syifa’. Dia tenang je.Kami berbual. Memang dia tak gelak tapi matanya lebih
bermaya. Kami ceritakan tentang kawan2 yang datang, yang berkirim salam dan
sebagainya. Memang dia tak dapat lawan bergurau, ketawa besar macam biasa tapi
dia dengar kami tu pun dah cukup. Langsung tak tunjuk airmata pada dia. Kami
usap tangannya, usap pipi dan dahi berkali2 dan bercakap dengan nada yang ceria
juga. Tak boleh nak pandang dia dengan mata sayu, cakap dengan suara sebak..tak
boleh. Kalau kita positif, kita ceria, aura kita berpindah kepadanya.
Ramai yang bersimpati dengannya lalu mencadangkan pelbagai
bentuk rawatan pemulihan. Ada yang mencadangkan pergi kepada sekian-sekian
dukun patah jika Hajar telah keluar dari Hospital nanti. Ada juga peniaga air
yang menawarkan sebotol air pada harga RM25, dan menjanjikan penyembuhan dalam
10 minit sahaja. Hajar senyum . Pesannya, dia tidak mahu apa-apa rawatan yang
menggunakan perantaraan jin dan hanya mahukan perubatan Islam. Dia rela lumpuh
seumur hidup atau sanggup mati, asalkan tidak mensyirikkan Allah.
11 Jan 2013 (Jumaat)
Doktor dah benarkan makan bubur. Kami sudukan dengan sup
ayam, sup sayur, ikan dan buah2an. Minum air zam zam pakai straw. Memang haus
betul dia. Berkat air terbaik di atas mukabumi, dia segera nampak bertenaga.
Menitis airmata sahabat2 melihat dia telah makan. Berebut2 mereka nak tolong
layan Hajar. Suasana ceria berlanjutan dengan cerita2 lucu mereka.
Solat Hajat dilakukan di merata tempat dari sebelah malam
hingga ke siangnya.UTeM sendiri menganjurkan solat hajat di Masjid, melibatkan
kerjasama BADAR dan Majlis Perwakilan Pelajar .
Lawatan Naib Canselor, memberikan suntikan semangat
luarbiasa kepada Hajar. Dia ingin sembuh. Dia ingin kembali belajar. Dan dia
dijanjikan pelbagai kemudahan pembelajaran jika dia sihat dan masih berminat
menuntut ilmu.
Sedikit jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru
menyebabkan pernafasannya tidak stabil.
12 Jan 2013 (Sabtu)
Doa dan kata-kata peransang tak henti2 masuk ke telefon
untuk memberi semangat kepada Hajar. Kami perlu kuatkan pernafasannya. Latihan
pernafasan mula diberikan supaya oksigen banyak masuk ke badan dan dia dapat
melawan kuman2 yang datang menyerang. Hasilnya, kedua dua tangan dah boleh
diangkat tinggi. Selepas ini, kami nak teruskan dengan latihan menggenggam.
Semua ini menyakitkan, kerana itu motivasi dari sahabat2 amat diperlukan.
Peranan saya sebagai ibu adalah untuk mengukuhkan keimanannya dan meletakkan
pergantungan harapan sepenuhnya pada Allah.
Sebelah petangnya, Hajar di keluarkan dari ICU Mawar dan
diletakkan di wad D3.
13 Jan 2013 (Ahad)
Akhirnya berbekalkan sedikit kekuatan yang diberi oleh
Allah, saya terangkan situasi sebenar, kesan kemalangan itu kepada Hajar. The
whole truth. Dan sebagai hambanya yang patuh, dia Redha dengan apa saja Qada
dan QadarNYA. Pendapat doktor itu berdasarkan pengetahuan manusia. Yang mana ia
hanya ibarat setitik air di lautan yang luas. Terlalu kecil kemampuan manusia
berbanding dengan kekuasaan Allah itu sendiri. Baginya hidup mesti diteruskan,
ada banyak lagi nikmat tuhan yang sedang dinikmatinya. NIKMAT TUHAN YANG
MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?
Setiap hari Allah menuntut perjanjian kita dengannya sebelum
kita dilahirkan. Iaitu untuk mengakui DIA itulah tuhan kita yang layak
disembah. Dia yang maha berkuasa, yang memiliki segala2nya. Sedang kita inilah
si fakir yang tak punya apa2…dan sentiasa meminta2 darinya. Kalau dah lidah
kita mengakui Allah itu maha berkuasa, maka ikrarkan pula dihati..yang DIA
mampu mengubah nasib Hajar lantas menyembuhkannya sekalipun.
Takada rahsia lagi. Dia dah tahu dirinya lumpuh sementara.
Dah tahu situasi tulang belakangnya, saraf tunjangnya yang cedera dan juga
pembedahan yang telah dilaluinya. Tanpa setitik airmata, tanpa keluhan, tanpa
menyesali nasib, tanpa mematahkan semangatnya untuk terus hidup, katanya kalau
mak dan ayah boleh redha, dia juga akan redha. Banyak lagi tanggungjawab untuk
digalas, ramai lagi diluar sana yang perlukan bimbingan dan kerana Allah masih
selamatkan nya, dia akan bersyukur. Pasti ade hikmahnya.
Malam itu, sedang saya membacakan ayat2 suci kepadanya, dia
kata “Mak dengar tak tu? Suara seruan tu?” Saya terdengar seruan bersahut2an
dua atau tiga kali dari arah yang tak pasti. “Orang azan kot” tingkah saya. Dia
jawab “mana pulak, azan mana ada SUBHANALLAH.. orang tu sebut SUBHANALLAH
berkali2. Akak dengar, Cuba tengok jam, bukan masa azan, kan?.”akuinya penuh
jujur. Saya rasa berdebar, “Selalu ke akak dengar?” “Selalu gak, entah siapa
lah yang jerit tu gaknya…” jawabnya naif’
14 Jan 2013 (Isnin)
Sebelah siang Hajar demam.Batuk2 Kecil, Menjelang maghrib,
cuaca sejuk, batuk makin memberat. Demam semakin tinggi mencecah 39C. Selsema,
kahak tersumbat di saluran kerongkong dan belakang hidung. Hajar semakin lemah.
Apabila pernafasan tersekat,Hajar menggelepar mencari nafas. Doktor segera
bertindak bila kami menjerit meminta bantuan kecemasan diberikan dengan
menyedut kahak menggunakan mesin penyedut. Tiup dimasukkan ke saluran
kerongkong dan saluran hidung. Prosedur yang menyakitkan dan tidak selesa. Tapi
masih tak banyak membantu, selsema mengalir lagi, dan kesejukan malam
menyebabkan hidung tersumbat semula. Kami disuruh keluar semasa bantuan
kecemasan itu. Keadaan agak membimbangkan. Kami berdua berusaha menolong dengan
membacakan ayat2 suci dan zikir2. Menjelang tengah malam barulah dia bernafas
selesa dan tidak mencungap cungap lagi. Keletihan yg teramat sangat..tetapi
bersyukur terselamat dr situasi bahaya. Stabil.
Bila dah tenang, Hajar bercerita semula, semasa doktor
membantunya dan kami memohon bantuan Allah, pertolongan tersebut telah datang.
Bagaimana? Secara tiba2 dia sendawa berkali kali. Dan setiap kali angin sendawa
itu keluar, terasa hidung yg tersumbat tidak tersumbat lagi dan dia boleh
bernafas dgn selesa. Kemudian, dia terasa mukanya dipercikkan air 3 kali. Air
yang sgt sejuk dan selesa. Dia yang sedang demam panas dan terasa muka
berbahang, tetiba rasa sangat selesa dan demam mula menurun.SUBHANALLAH.
Hari dah jauh malam, suami saya nak pulang menjaga anak2
yang lain di rumah. Suami beritahu Hajar, dengan cepat dia jawab “Ayah percaya
Allah tak?”jawab suami”Percaya”. Tambah Hajar lagi, “Kalau percaya pada Allah,
ayah baliklah..Allah ada jaga akak kat sini.”Sesekali dia tersenyum manis. Kami
tanyakan” kenapa senyum?” Dia jawab…”ada bau wangi sangat”.” Selalu ke akak
terbau macam tu?”Jawabnya, “Kadang2 aje, kadang2 masa nurse datang, kadang2
waktu sahabat ziarah” Hati kami mula rasa sesuatu. Suami saya tak jadi balik.
Kami berdua tertidur kepenatan menemani dia malam tu. Dipihak dia pula, terasa
sangat aman dan damai. Malam yg sejuk dirasakan nyaman. Langsung tak rasa lapar
dan dahaga. Menurutnya, sepanjang malam, dia memerhatikan kami berdua tidur dan
mensyukuri apa saja nikmat yang sedang dinikmatinya.
15 Jan 2013 (Selasa)
Sebelah pagi Hajar masih tak bermaya. Semakin naik matahari,
hidung semakin kurang tersumbat dan kesihatan mula beransur baik. Perjuangan
untuk hidup diteruskan lagi. Bila demam berkurangan, Hajar akan kembali ceria,
makannya akan berselera, makan pudding, bubur, sup ayam dan buah2an.. Rakan2
pun gembira melayan kerenah dia. Bila dia sebut teringin makan pisang…tetiba
ada saja tetamu yang bawakan. Dia duduk tapi kepalanya agak senget – masih tak
boleh kawal gerakan kepala. Spontan dia kata, “Kalau ade bantal kecil, boleh
letak kat leher” lalu Allah perkenankan hajatnya. Bantal yang diidamkan dibawa
oleh sahabat yang prihatin pada hari yang sama hajatnya diutarakan. (KUN
FAYAKUN)
Tekak Hajar masih terasa sakit – perit. Mungkin sebab guna
tiub penyedut kahak sebelumnya. Jadi ubat demamnya perlu dihancurkan dan
dijadikan larutan. Saya bancuhkan paracetamol dengan sedikit air zam zam.
“Akak, ingat ye, ubat ni alat je, Allah yang menyembuhkan” Dia angguk. Ubat di
sudukan ke mulutnya. Pahit. Kecil matanya. Segera saya berikan air zam zam
untuk diminum. Lepas itu dia tanya, “Air ape tadi?”. “Ehh..air zam zam lah,
mana ade bagi air lain.” Dia senyum lagi. Saya tertanya2. Dia kata “Allah tolong
akak, ubat tu memang pahit, tapi bila minum air zam zam tu, rasa macam air tu
manis, ia basuh semua rasa pahit dilidah akak, Esok mak cubalah” Macam mana
ni….nak percaya tak?
Malamnya, dia kena makan ubat lagi. Tanpa gentar, dia
menelan ubat pahit tu dan tinggalkan sedikit untuk saya. Nekad untuk
menyampaikan dakwah, saya telan baki ubat itu. Memang pahit. Dan bila air zam
zam diminum, rasa pahit itu hilang tak berbekas. Seperti lumpur di lantai yang
tertanggal semuanya bila air disiram kepadanya.
Kemudian dia mula bertanya bagaimana dia nak solat dalam
keadaannya seperti itu. Saya terkedu. Telefon terus saya capai, meminta bantuan
ilmu dari rakan2 yang lebih arif. Dan seperti dijangka, apa yang dimintanya,
mudah benar utk Allah tunaikan. Ade saja sahabat yang prihatin dan sudi
menolong.
Bila Doktor pelatih datang untuk mengambil sampel darah,
Hajar menangis. “Akak dah lemah, makan pun tak seberapa, mana nak ada darah
banyak. Doktor asyik ambil darah..tangan doktor tu besar,kematu, tak sensitive.
Tangan akak kecil, Sakit tau ditampar2 tangan akak, dicubit2…dah tak jumpa urat
darah tu, tak yah lah ambil darah. Akak tak nak doktor tu lagi”. Sayu hati
mendengar rintihannya, tapi macamana? Mana boleh pilih2 doktor. Tapi Allah maha
mendengar, esoknya doktor lain pula mengambilalih.
16 Jan 2013 (Rabu)
Usai solat subuh, saya dapati Hajar mengadu sakit perut.
Macam kembung. Perut mula membengkak dan bergerak2. Saya sapukan sedikit minyak
angin dan bacakan rukyah. Dia terasa nak muntah. Ya memang.. dia betul betul
muntah. Berlambak2 muntah air hijau keluar dari mulutnya. Kami beri air zam zam
kerana muntah tersebut memahitkan tekak. Tapi muntah berterusan…lagi…. lagi…
dan lagi…”Akak tak nak pelawat hari ni”. Dan tengahari itu, memang takada
pelawat yang datang.
Menjelang maghrib, dia suruh ayahnya solat. Kemudian saya
pula disuruh solat. Saya katakan, “nanti siapa nak tolong bersihkan muntah? Mak
solat lewat sikitlah…Dia jawab “Allah ada, Allah boleh bantu akak.” Terkedu.
Saya pun tinggalkn dia untuk solat. Ayahnya pula pergi menjemput adiknya di
Malacca Central. Selesai solat, saya dapati nurse sedang membersihkan Hajar.
Bajunya yg terkena muntah digantikan. Kemudian dia kata, “Haa..kan betul akak
cakap, Allah ada bantu akak. Mak pergi je, akak muntah, tapi nurse yg sedang
rawat makcik kat sebelah tu ternampak akak muntah dan dia datang bantu.
Sepanjang malam, adik Hajar, Nabilah, saya dan suami saya
hanya menadahkan kain menahan muntah hajar. Muntah…minum lagi…dan kemudian
muntah semula. Bila reda sedikit, kami mula berbicara. “Akak, Nampak gayanya
macam perut akak dah tak terima lagi air yang kami beri. Mungkin rezeki minuman
akak dah habis. Mak bagi air untuk basah tekak je, tapi untuk menghilangkan
dahaga, akak mohonlah rezeki dari Allah.
Ayahnya pula kata “Akak, kalau akak dipanjangkan usia, ayah
akan belikan computer yg lebih ringan untuk akak, sesuai dgn kemampuan akak
menggunakannya. Tapi kalau usia akak tak panjang, akak jangan sedih sebab akak
akan dapat syahid dunia. Pujuk ayah lagi, “Akak, bila dajjal keluar nanti,
orang2 yang beriman takkan dapat bekalan makanan sebab tak mahu sembah dajjal.
Mereka akan berzikir sahaja, dan Allah cukupkan rezeki mereka. Mereka tak rasa
lapar dan dahaga, Akak zikirlah ye”. Angguk.
Walaupun perbualan itu amat menyentuh hati, tapi masih tak
mampu menggugurkan air matanya. Dia kata” Kalau mak dan ayah dah redha, takde
sebab untuk akak tak redha. Kalau Allah izinkan akak hidup lagi, walau mcmana
pun rupa akak waktu tu, akak akan berdakwah untuk beritahu orang tentang adanya
pertolongan Allah, besarnya kekuasaan Allah. Mak tulis ye, biar tak lupa .
Nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak
ceritakanlah bagi pihak akak”
Untuk adik2nya, dipesankan agar ubah penampilan berpakaian.
Untuk rakan2, dia minta maaf dan memberikan kemaafannya kepada mereka. Adik2
dipujuk agar pakai jubah2 dan tudung dia yang banyak. Dia turut beritahu minta
digantikan puasanya dan uruskan solat yg tertinggal sepanjang dia berada
dihospital tu. Ada beberapa hutang kecilnya minta dilunaskan.
Kami tanya lagi. “ susah ke rasanya nak muntah tu tadi?”
Jawabnya, “Taklah, senang je, Allah tolong.” “Tolong macamana?” tambahnya “Dah
badan akak tak boleh keluarkan air2 kotor tu dgn cara biasa, Allah tolong
keluarkan melalui muntah. Tak susah pun, rasa macam meludah je” MASYA ALLAH.
Hajar sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan Allah. Sentiasa berbaik
sangka Allah menolongnya. Benarlah seperti hadis qudsi, Allah bertindak
mengikut sangkaan hamba terhadapNYA. Jika kita yakin Allah menolong kita, maka
Allah akan tolong.
Keputusan Xray menunjukkan perut dan usus besar membengkak
teruk.
17 Jan 2013 (Khamis)
Situasi kritikal. Tak mahu pelawat lagi. Doktor sedang cuba
menyelamatkan . Perut membengkak terus. Usus besar tidak menyalurkan najis
dengan sempurna. Menurut doktor semuanya ada kaitan dengan saraf tunjang yang
gagal menghantar arahan ke anggota badan. Ultrasound pula diambil. Hajar
tenang. Berserah pada Allah menentukan yang terbaik untuknya.
Selepas waktu melawat tengahari, demam memburuk semula.
Perut yang membengkak menyukarkan pernafasan. Doktor mula gelisah. Satu tiub
dimasukkan ke perut melalui hidung bagi menyedut cairan di dalam perut. Lebih
1Liter cairan dikeluarkan. Hajar diarahkan berpuasa sehingga punca pembengkakan
itu diketahui.
Demam lagi. Saya sudukan juga tiga sudu air zam zam ke
mulutnya dari masa ke semasa. “Akak, jgn bimbang, kita orang Islam dah dilatih
berpuasa. Redha ya .. mak bagi air zam zam ni hanya utk basah tekak, memang tak
sempat sampai ke perut pun ia akan kering sendiri. Mintalah Allah hilangkan
dahaga akak” . Dalam keletihan beliau jawab, “beratnya dugaan Allah ni , mak..”
“memanglah…kan syurga Allah tu mahal harganya…sabar ya.. Nabi Ayub dulu pun
diuji dengan berat” Dia angguk.. Doktor pasang drip…Dalam hati, saya tak putus2
membacakan ayat2 suci dan selawat untuk menolong beliau melalui kesukaran itu.
Menjelang asar, Hajar mula rasa bahang. Dia minta
dimandikan. Panasnya kuat dibahagian dada. Dan terasa semua badan sakit2. Saya
terdiam. Saya rasa, dia dah mula nak nazak. Waktu tu saya berdiri
membelakangkan tingkap. Dia suruh saya beralih kedudukan. Dia nak pandang
keluar tingkat. Saya tanya , nak tengok apa? Katanya : nak tengok Allah. Saya
terkedu lagi. Katanya :” Allah marah sebab tak dakwah sungguh2. Tak mahu cari
jalan lain, bila dakwah terhalang.” Saya jawab “Mintalah ampun dan banyakkan
beristigfar pada Allah,” Angguk.Tak lama lepas tu, dia kata, matanya dah mula
kabur. Saya membisikkan agar dia terus mengingati Allah. Angguk.Dalam
termengah2 dia berkata”mak, izinkan akak pergi dulu, tapi akak tak nampak
jalan” “ Ya, mak izinkan, mak doakan agar Rasulullah datang tunjukkan jalannya.
Sekali lagi dia mengejutkan saya, bila dia kata dia dah tak boleh nampak, lalu
bola matanya bergerak ke atas. Segera saya talkinkan berulang kali. Doktor dan
nurse mula berkejar datang nak menyelamatkan. Saya disuruh keluar. Mereka mula
memasang topeng oksigen,dan menaikkan tekanan darah.
Hati saya dah sebu. Saya tahu tadi tu Hajar dah nazak.
Persiapan dibuat utk pindahkan Hajar ke ICU semula. Waktu maghrib tu, kami
berkejar kejaran tolak katil Hajar ke ICU okid.
Hajar segera dibius dan getah saluran pernafasan dipasang ke
mulutnya. Mesin pernafasan mengambilalih proses pernafasan. Itulah kali
terakhir untuk dia berkata kata kerana selepas itu dia terus ditidurkan dan tak
bangun2 lagi.
18 Jan 2013 (Jumaat)
Kami dimaklumkan ada air yang banyak diluar perut dan
sekitar usus. Dikhuatiri usus Hajar telah bocor. Menjelang waktu azan zohor,
untuk solat jumaat, jantung Hajar berhenti berdenyut. Doktor segera melakukan
CPR. (Satu. Dua, Tiga, Empat, ……)saya nampak prosedur tu dr luar cermin
biliknya. Hati saya terguris teruk…cpr dilakukan di dada, betul2 di atas
kawasan pembedahan tulang belakangnya. Kalau dia selamat sekalipun, apa nasib
tulang belakang tu, kan baru je lepas dibedah.
Walaupun jantung dapat digerakkan kembali, namun jantung
Hajar hanya bekerja 1% sementara mesin pernafasan yg bekerja lagi 99%
.Hakikatnya carta pernafasan di paparan skrin tu terasa semacam gimik.
19 Jan 2013 (sabtu)
Doktor pakar usus mengesahkan usus Hajar bocor dan perlukan
tembukan kecil diperut untuk mengesahkan teori beliau. Sekiranya benar,
pembedahan yang lebih besar diperlukan utk memotong usus yang bocor itu dan
mencantumkan semula. Serentak dengan itu, kami diberi borang kebenaran
pembedahan untuk ditandatangani. Semuanya atas nama nak menyelamatkan nyawa
Hajar. Kami buntu. Suami meminta tempuh untuk bertenang dan berfikir. Kami
perlu solat. Kami perlu berfikir dengan tenang. Kami mohon pertolongan melalui
pertolongan Allah. Pukul 2 pagi, kami dipanggil semula. Terdesak, kami benarkan
tembukan dilakukan diperut. Hanya pada Allah kami bermohon pertolongan dan
petunjuk.
Belumpun sempat selesai pembedahan kecil itu, seorang lagi
doktor memanggil kami. Berita besar yang disampaikan, buah pinggang Hajar tidak
berfungsi sepenuhnya atau lebih tepat lagi..dah rosak dan perlukan dialysis
darah. Hajar takkan boleh bertahan kalau darahnya tak dicuci kerana toksin
dalam tubuh akan meningkat dan meracuni organ2 yang lain. Terdiam. Bermimpikah
kami? Lepas satu, satu, organ badannya merosak. Namun begitu, dialysis tidak
boleh dilakukan dengan selamat kerana keadaaan Hajar yang tidak stabil.
Jantungnya dah pernah berhenti, dan boleh berhenti lagi semasa dialysis.
Darahnya dah terlalu cair..dah lama tak makan. Pendarahan juga boleh berlaku
kerana tekanan darah yang rendah. Jadi apa yang boleh kami perbuat? Sesudah
berbincang, kami ambil keputusan tidak membenarkan cuci darah dijalankan kerana
risikonya besar.
Tak lama lepas tu, pakar usus pula mengesahkan yang usus
Hajar memang benar2 bocor dan pembedahan besar diperlukan. Kami tanya, adakah
Hajar stabil untuk dibedah? Jawapannya TIDAK.Kami Tanya adakah masalah usus itu
boleh selesai selepas pembedahan tersebut? Jawapannya. TIDAK PASTI MASALAH SAMA
TAKKAN BERULANG LAGI. Lalu kami berikan jawapan yang paling selesa bagi kami
iaitu tidak membenarkan sebarang pembedahan dilakukan lagi. Kami juga tidak
membenarkan prosedur cpr dilakukan jika jantung terhenti lagi.
Doktor bercakap dengan berhati2. “Kalau itu keputusan Puan,
Puan sedarkah apa akibatnya nanti?” Saya jawab, “ya, saya sedar, saya akan
kehilangan anak saya, dan saya redha. Malah, kalau boleh , saya nak segala ubat
dan mesin pernafasan dihentikan” Doktor menjawab, “Itu tak boleh, menyalahi
etika, itu seperti membunuh pesakit. Kami tak boleh membunuh pesakit, tapi
kalau Puan tak mahu lakukan semua yg kami dah cadangkan, mesin pernafasan tetap
perlu terus dihidupkan. Cuma pesakit takkan mampu bertahan lama kerana toksin
yang tinggi akan meracun dirinya sendiri.
Selepas itu, doktor terus mengawasi Hajar, dan pelawat telah
dibenarkan menziarah tanpa had masa kerana Hajar hanya menunggu masa untuk
pergi meninggalkan kita semua. Semua keluarga telah dimaklumkan, Hajar tak
putus2 diziarahi oleh sahabat2 yang mengenali dan bersimpati. Masing2 ingin
menatap wajahnya untuk kali terakhir
20 Jan2013 (Ahad)
Pagi itu kami berdua khusyuk dlm doa masing masing, hanyut
dalam munajat kami kepada Allah memohon bantuan dan keringanan untuk sakaratul
maut anak kami.Tepat jam 9.20 pagi, Hajar melepasi sakaratulmaut dan meninggal
dunia dengan tenang dalam dakapan ibu dan restu ayah. Pergilah sayang, TUHANMU
yang lebih menyayangimu telah menunggu. Terima kasih YA ALLAH kerana telah
meminjamkan kami anak yang sebaik ini. 20 tahun kami berbahagia dengan
kehadirannya.Terima kasih kerana menganugerahkan akhlak yang mulia terhadap
anak kami ini. Kini kami kembalikan ia kepadaMU YA ALLAH.Dakapilah ia dengan
limpahan rahmat kasih sayangMU yang maha Agung. Amin.. amin..amin..ya rabbal
alamin.
Siti Hajar selamat dikebumikan di kampung keluarganya dengan
lancar.Begitu ramai sahabat, pensyarah, pegawai university dan saudara mara
hadir memberikan lawatan terakhir, memandikan, menyembahyangkan dan
mengkebumikan beliau. Seluruh alam seakan turut bersedih dan merintih kerana
kehilangan seorang mujahidah sejati. Cuaca mendung berterusan dari pagi hingga
ke petang, ( tetapi tidak pula hujan), turut menyentap tangkai hati insan2 yang
jujur menyayanginya.
*Kisah pemuda-pemudi pada jalan Illahi, sedang kita sedang
melalui jalan yang bagaimana. Allah.
sumber:
No comments:
Post a Comment