Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa ada seorang lelaki
tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia
terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis.
Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia
pun berkata, "Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?"
Maka berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik saya telah
membaca ayat al-Quran sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi, "Yaa
ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum" yang bermaksud, "Wahai
orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu." Saya
menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka."
Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu
takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam api
neraka."
Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah
orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang
pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil
dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil
ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa."
Berkata orang tua itu, sambil menangis, "Sesungguh anak
kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka
bagaimanakah keadaan kami nanti?"
No comments:
Post a Comment