Salam alaik..
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah...
Aku memanjatkan syukur padaMu ya Allah tuhan sekalian alam kerana memberi peluang kepadaku, panjangkan usiaku untuk aku terus menambahkan ibadahku di bulan yang penuh mulia dan barakah ramadhan kareem.
Bulan Ramadhan bulan berganda. Setiap apa saja yang
dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut
berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana
nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.
Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan
syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama
turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit
kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada
kita?
Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit
dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."
Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat
menggilap kembali
hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang
bertahta di hati kita selama ini.
Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan
sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong
oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa
adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah
jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam.
Nabi Muhammad saw pernah bersabda:
"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana
pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan
sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan
lapar dan dahaga"
Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang
kasih sayang
kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan
umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala.
Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama
kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan
sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan
yang menganiayai diri
sendiri.
Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh
keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."
Subhanallah...
moga aku tergolong di kalangan ahli syurgaMu ya Allah.
Allahummaameen.
No comments:
Post a Comment