Sunday, 15 June 2014

Buah tamar aka kurma di Kota Bharu,Kelantan.





KOTA BHARU - “Satu keajaiban." Itu kata-kata pertama seorang pengunjung, Wan Mohd Zamanhuri Wan Mansor, 40, sebaik diajukan kewujudan beberapa pokok kurma yang kini lebat berbuah di Bulatan Jam Besar, di sini.

Menurutnya, dia mengetahui pokok kurma itu dalam laman sosial Facebook, membawa isteri dan anak-anak melihat sendiri tanaman padang pasir yang hidup subur di Kelantan kini.

“Agak mengejutkan kerana umum mengetahui tanaman ini hanya terdapat di negara Arab, namun kini ia subur di Kelantan, malah mengeluarkan buah yang begitu lebat, ajaib,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sekitar kawasan berkenaan di sini, semalam.

Seorang lagi pengunjung, Siti Nor Amirah Zulkifle, 22, turut mengakui terkejut apabila mengetahui pokok kurma yang berbuat lebat itu berada kurang 500 meter dari tempat pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Kota Bharu.

“Ini kali pertama saya lihat buah kurma segar terus dari pokok, walaupun agak terkejut dengan maklumat yang tersebar di laman sosial Facebook, namun saya percaya tidak ada yang mustahil ketika ini, seperti mana musim bunga yang berlaku di Kedah,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin berkata, kewujudan 37 pokok kurma yang ditanam Unit Landskap MPKB-BRI itu bertujuan mengindahkan bandar ini selari dengan gelaran bandar raya Islam.

Menurutnya, pokok kurma di Bulatan Jam Besar itu mula berbuah tahun lalu, namun baru kali ini buahnya agak lebat dan menarik perhatian ramai.


“Setakat ini, 10 daripadanya sudah berbuah dan dijangka masak serta boleh dipetik penghujung Ramadan ini,” katanya.

Rosnazli berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk melihat pokok dan buah kurma berkenaan, malah tidak menghalang mereka menikmati buah yang gugur, sebaliknya melarang daripada memetik.


“Kita mengharapkan kerjasama semua pihak bagi memastikan pokok ini kekal terjaga,” katanya.



No comments: