Tuesday, 26 April 2016

El-Nino menyerang Malaysia



25 APRIL ― Fenomena El-Nino yang melanda negara kita ketika ini adalah yang paling ekstrem pernah dicatatkan dalam tempoh 20 tahun. Apa tidaknya, terdapat beberapa buah kawasan di dalam negara yang tidak menerima taburan hebat selama 40 hari.

Keadaan diburukkan lagi dengan suhu harian yang mencecah 40 darjah Celcius yang akhirnya mengakibatkan sekolah-sekolah di beberapa buah negeri terpaksa ditutup baru-baru ini.

Enam empangan di seluruh negara iaitu Bukit Kwong di Rantau Panjang; Beris di Sik; Muda di Kuala Nerang; Padang Saga di Langkawi; Timah Tasoh di Kangar dan Labong di Mersing kini hanya mempunyai takungan air di bawah paras 50 peratus dan dijangka kehabisan dalam tempoh 25 hari akan datang.

Keadaan yang sama juga kelihatan di kawasan tasik dan sungai-sungai termasuk Tasik Bukit Merah di Kerian, Perak dan Sungai Pinang di George Town yang hampir kehabisan bekalan air.

Justeru, apabila Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengumumkan cuaca panas ekstrem ketika ini akan berlarutan sehingga bulan September nanti, situasi terkini mengukuhkan persepsi umum ianya sudah mencapai ke tahap yang amat kritikal.

Ini bererti, rakyat Malaysia perlu bersiap-siaga untuk berhadapan dengan pelbagai kemungkinan seperti catuan air dilaksanakan oleh pihak berkuasa, masalah kebakaran hutan dan paling menggerunkan, masalah jerebu yang sudah menjadi masalah tahunan di negara kita. Manakala, golongan petani dan peladang pula mengalami kerugian besar gara-gara kemusnahan tanaman mereka akibat kemarau berpanjangan.

Pada masa yang sama, timbul juga pelbagai tanda-tanya mengenai kesiapsiagaan pihak berkuasa dalam menangani masalah berkenaan. Berdasarkan kepada kenyataan dan pemerhatian yang dijalankan, nampaknya tindakan mahupun pengumuman yang dibuat oleh pihak berkuasa adalah bersifat ad-hoc dan tidak menampilkan pelan jangka panjang untuk tujuan tersebut.

Langkah-langkah seperti pembenihan awan ataupun gesaan untuk menyimpan bekalan air mencukupi bukanlah jalan penyelesaian jangka panjang untuk krisis ini. Sebaliknya, menurut pakar cuaca daripada Jabatan Geografi Universiti Malaya, Profesor Datuk Azizan Abu Samah yang dipetik oleh sebuah portal berita sebagai berkata, sebarang usaha untuk menangani impak El-Nino seharusnya dibuat kira-kira enam bulan yang lalu dan bukannya sekarang.

“Saya telah memberikan peringatan kepada pihak berkuasa berhubung kemungkinan berlakunya kemarau berpanjangan di negara kita pada bulan Jun tahun lalu. Malangnya, cara pihak berkuasa kita berhadapan dengan krisis ini jelas membuktikan kurangnya pelan yang komprehensif untuk menangani El-Nino,” katanya.

Apa yang dinyatakan oleh Profesor Datuk Azizan itu boleh dijadikan iktibar kepada kita semua agar sentiasa berwaspada dan mempunyai pelan jangka panjang ketika berhadapan dengan sesuatu krisis. Sesuatu krisis akan berlaku tanpa mengira tempat dan waktu dan adalah menjadi tanggungjawab semua untuk tampil dengan jalan penyelesaian terbaik agar perkara sama tidak akan berulang dan memberikan imej negatif terhadap keupayaan negara berhadapan dengan krisis.

Jika krisis cuaca dan air yang berpanjangan pun tidak berjaya ditangani dengan baik, apakah ada jaminan bahawa pihak berkuasa boleh menguruskan sesuatu krisis yang jauh lebih besar dan kompleks selepas ini?

Krisis cuaca yang ekstrem kali ini seharusnya membuka mata pihak berkuasa untuk memikirkan pelan jangka panjang terbaik untuk mengurangkan impaknya kepada rakyat. Jangan sesekali menunggu hingga ke saat-saat akhir untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Barangkali, pada ketika itu, segalanya sudah pun terlambat. Krisis demi krisis yang berlaku sepatutnya sudah mendewasakan pihak berkuasa kita untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan tanpa ragu-ragu dan bukannya menuding jari atau berdolak-dalih.

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.


- See more at: http://www.themalaymailonline.com/opinion/bartholomew-chan/article/cuaca-panas-melampau-buatlah-persediaan-dari-sekarang#sthash.nRRMIsCd.dpuf

No comments: