Wednesday, 8 February 2017

Kes kelar bayi Kota Bharu



PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberikan perkhidmatan kaunseling kepada keluarga ibu yang mengelar bayinya berusia dua bulan di Kota Bharu, Kelantan, Sabtu.

Timbalan Menterinya Datuk Azizah Mohd Dun berkata pihaknya difahamkan bahawa ibu berusia 32 tahun itu mengalami gangguan emosi yang dikenali sebagai “meroyan” yang lazimnya berlaku kepada ibu selepas bersalin.

“Pihak kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan akan menyediakan kaunselor untuk memberi kaunseling kepada keluarga terlibat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil tamat latihan Modul Bakeri Program Latihan Kemahiran Khas Suri rumah “My Home Chef” 2.0, di sini Ahad.

Pada Sabtu, seorang ibu dipercayai mengelar leher bayi perempuannya berusia dua bulan setengah hingga mati dalam satu kejadian di Kuarters Kem Desa Pahlawan Kok Lanas, Kota Bharu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata siasatan awal mendapati suspek, isteri kepada seorang anggota tentera itu berkemungkinan mengalami gangguan emosi.

Azizah berkata kes gangguan emosi dalam kalangan wanita selepas bersalin jarang berlaku di negara ini dalam bentuk yang ekstrem seperti yang berlaku kepada wanita terbabit.

Ditanya mengenai cadangan supaya jururawat yang melawat ibu selepas bersalin melakukan pemeriksaan mental, beliau berkata masalah “meroyan” sukar untuk dijangka dan boleh berlaku secara tiba-tiba.


“Memang sudah menjadi kelaziman bidan atau jururawat melawat ke rumah dalam tempoh berpantang, tetapi insiden seperti ini tidak boleh diramal. Memang ada kes meroyan tetapi tidak begitu ekstrem seperti ini,” katanya. – BERNAMA


No comments: