Dalam sebuah hadis yang sahih yang direkodkan oleh Bukhari
dan Muslim, Nabi berkata, “Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita
dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan
sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu
cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu membiarkannya
akan terus bengkok selama-lamanya. Jesteru, berpesan-pesanlah tentang wanita
(dengan kebaikan)“.
Adakah ayat ini bermaksud bahawa wanita secara umumnya
dijadikan oleh Allah daripada tulang rusuk lelaki? Sebenarnya, di dalam A-Quran
Allah menyatakan dengan jelas manusia sebenarnya berasal dari nutfah (iaitu air
mani yang sedikit) yang bercampur dengan benih wanita, kecuali nabi Adam yang
berasal daripada tanah. Berhubung dengan ini dalam surah Al-Haj ayat 5 Allah
menjelaskan “Wahai manusia apabila kamu meragui hari kebangkitan (maka
ingatlah) kami menciptamu dari tanah , dan kemudian daripada nutfah.”
Oleh kerana kenyataan Al-Quran berhubung dengan kejadian
manusia begitu jelas sekali, hadis tidak dapat mencanggahinya. Jesteru hadis
ini, yang menyatakan wanita berasal dari tulang rusuk lelaki, tidak dapat
ditafsirkan dari bentuk yang mencanggahi Al-Quran. Sebenarnya, fokus hadis ini
bukannya berkenaan asal-usul kejadian wanita sebaliknya berkenaan kepentingan
menghormati dan menjaga wanita dengan baik. Jesteru, di dalam kitab Riadus
Solihin, Imam Nawawi meletakkan hadis ini di dalam bab ‘Wasiat Untuk Menjaga
Kaum Wanita Dengan Baik’.
Di dalam kitab Dalilul Falihin, diriwayatkan bahawa Imam
Qurtubi berkata, “Wanita dicipta dalam batas dan keadaan seperti tulang rusuk,”
dan bukan dicipta dari tulang rusuk. Dalam bentuk kiasan ia bermaksud, tulang rusuk
dalam bengkok adalah berbeza daripada tulang yang lain sebagaimana wanita
berbeza dari kaum lelaki. Perbezaan ini mempunyai kepentingannya jesteru tulang
rusuk tidak boleh dicaci kerana berkeadaan seperti itu kerana tanpanya manusia
menghadapi masalah. Begitu juga dengan wanita, tanpanya kehidupan tidak
sempurna. Kaum wanita adalah cantik dalam keadaan semulajadinya walaupun dalam
aspek-aspek tertentu mereka berbeza dari kaum lelaki. Pihak lelaki perlu
menerima wanita dengan sifat semulajadinya dan tidak boleh bersikap keras
terhadap mereka. Mereka disuruh menghormati wanita dan bekerjasama bagi
mencapai matlamat yang Allah tetapkan. Wanita ada peranannya dan kadang kala
peranan itu berbeza daripada kaum lelaki. Perbezaan peranan tidak melambangkan
kehinaan.
Berbalik kepada isu berkaitan kejadian kaum hawa daripada
tulang rusuk kaum lelaki, sebahagian ulama berpendapat hadis ini membicarakan
berkenaan hawa secara khusus. Mengikut pandangan mereka, hawa berasal daripada
tulang rusuk Adam. Antara ulama yang berpegang dengan pandangan ini ialah
sahabat Abdullah Bin Abbas, Abdullah Bin Mas’ud, Imam Mujahid, Ibnu Al-Munzir,
Ibnu Humaid dan ramai lagi. Namun, apabila Al-Quran dirujuk mengenai perkara
ini, kita tidak menemui sebarang dalil yang menyokong pandangan ini. Sebagai
contoh, berhubung dengan kejadian Hawa, dalam surah An-Nisa’ ayat 1 Allah
menjelaskan dengan bermaksud, “Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang
mencipta kamu dari diri yang satu (iaitu Adam) dan daripadanya Allah
menciptakan isterinya (iaitu Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah
mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.” Dalam ayat ini dan yang
seumpamanya kejadian hawa tidak langsung dikaitkan dengan tulang rusuk Nabi
Adam.
Sebenarnya, Al-Quran lebih mementingkan supaya kualiti dan
maruah wanita dipelihara dan tidak diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak.
Dalam islam wanita dan lelaki adalah sama di sisi Allah sebagai hamba-hamba
Allah. Sekiranya seorang wanita beriman dan beramal soleh dia diberi ganjaran
yang tinggi dan diletakkan di tempat yang tinggi. Dalam surah Al-Imran ayat
195, Allah menyatakan yang bermaksud, “Sesungguhnya aku tidak mensia-siakan
amalan orang yang beramal antara kamu baik dia lelaki ataupun wanita kerana
sebahagian kamu adalah keturunan daripada sebahagian yang lain.”
Tambahan daripada itu, Allah tidak pernah menghina ataupun
memuliakan makhluk-makhluknya berdasarkan jantinanya. Sebaliknya kemuliaan
seseorang adalah berdasarkan ketakwaannya. Berhubung dengan ini, dalam surah
Al-Hujurat ayat 13 Allah menjelaskan, “Sesungguhnya yang paling mulia di
kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa antara kamu,” Hal ini
adalah utama untuk difahami dan dihayati.
No comments:
Post a Comment