“Kalau betul engkau anak kandung aku,
minum susu dari badan aku…aku sumpah
akan keluar balik susu dari mulut engkau!”
Itulah kata-kata sumpahan yang ditujukan ibu kepada saya.
Sejak hari itulah saya jatuh sakit. Susu sentiasa meleleh dari mulut saya tanpa
henti.
Tubuh saya yang dahulunya agak comel jadi kurus melidi tak
ubah seperti mayat hidup. Saya terbaring dan menyesali perbuatan lampau saya
terhadap ibu.
Tetapi sejahat mana pun seorang anak, ibu tetap mengambil
berat sewaktu saya terlantar. Ibu juga risau melihat keadaan saya, hari demi
hari semakin teruk.
Ibu serba salah dan tidak tahu apa yang patut dilakukan
untuk membantu saya. Ibu juga memberitahu saya, menyesal menyumpah saya. Ibu
tidak menyangka begitu kuat sumpahan seorang ibu.
Waktu itu hanya tuhan yang tahu betapa seksanya termakan
sumpah seorang ibu. Sebulan saya merana kerana sakit. Sebulan itu juga saya
tidak makan nasi.
Saya langsung tidak ada selera untuk makan nasi. Biarlah
saya lapar begini daripada merana seperti ini. Setiap saat, susu sentiasa
mengalir dari mulut saya tanpa mengira masa…
Saya masih ingat , kejadian itu berlaku ketika tiga orang
rakan saya datang ke rumah. Sambil berborak, ibu bertanya kepada mereka. “Kamu
ni kerja apa?” Tanya ibu kepada rakan-rakan saya.
“Kami semua kerja kilang kat hujung kampung ni mak cik,’
jawab tiga rakan saya. Ibu terdiam lalu pergi keruang tamu dan duduk di kerusi.
Saya buat tidak kisah dengan fiil ibu dan terus ke dapur membuat air untuk di
hidang. Waktu itu saya masih ingat saya buat air Milo panas.
Sebaik siap , saya bawa air di dalam teko itu keruang tamu.
Tapi, belum sempat meletakkannya di atas meja, ibu terus mengherdik saya.
“Kalau hari-hari engkau hidang air bagi orang makan percuma
larilah perbelanjaan kita! Dah, hentikan. Simpan balik air tu!” herdik ibu
kepada saya.
Saya merasa malu. Kawan saya semua terdiam kerana merasa
terkejut dengan sikap ibu. Saya beritahu ibu supaya jangan berbuat begitu di
depan kawan-kawan. Malu!
Sepatutnya ibu harus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan
limpah kurnia-Nya di beri rezeki melimpah-ruah dan kami sekeluarga tidak lagi
perlu kais pagi makan pagi.
Saya tidak setuju dengan perangai ibu menghina orang miskin.
Sebaliknya rakan-rakan yang setaraf atau lebih kaya dari kami dilayannya
seperti raja. Mereka diajak datang kerumah dan dihidangkan dengan pelbagai
makanan sedap-sedap. Saya betul-betul malu dan terkilan dengan sikap buruk ibu.
Saya ingatkan ibu, dulunya kami sekeluarga pun susah seperti
mereka juga. Setelah hidup senang, kita herdik-herdik mereka. Apa perasaan
mereka apabila ibu buat begitu?
“Ah! Kau apa tau? Bukan kau yang cari duit ! Aku ni yang
susah payah cari duit siang malam, kau senang-senang saja nak menghabiskan!”
tambah ibu lagi.
Ketika itu saya seperti orang hilang akal. Saya tidak dapat
terima cara ibu memarahi saya di depan kawan-kawan. Tidak semena-mena tangan
saya yang sedang memegang teko air Milo panas dihayun lalu tersimbah ke muka
ibu.
Ibu melolong-lolong menjerit kesakitan terkena simbahan air
Milo panas. Saya mula menyinga. Kawan-kawan terkejut dengan tindakan saya dan
cuba menenangkan saya. Tetapi ketika itu saya bagai dirasuk syaitan. Tanpa
sedar, saya terus berlari ke dapur mengambil sebilah pisau pemotong sayur.
Sekali lagi kawan dan ayah saya menahan perbuatan saya.
Mereka memegang saya dengan sekuat hati. Ibu berlari dan keluar ke pintu depan
rumah takut ditetak pisau di tangan saya. Ibu berdiri tercegat di situ. Saya
pula terjerit-jerit seperti terkena hysteria.
Disinilah bermulanya episod duka dalam sejarah hidup saya
apabila ayat ini terpancul dari mulut ibu.
“Kalau engkau betul anak kandung aku, minum susu dari badan
aku, aku sumpah akan keluar balik susu dari mulut engkau!”
Selepas keadaan reda sedikit, rakan-rakan balik rumah. Tiga
hari selepas kejadian itu, saya terus jatuh sakit. Saya di serang demam teruk.
Ayah bersusah payah menjaga saya. Ibu hanya buat-buat tidak tahu sahaja.
Mungkin ibu masih lagi geram dan marah dengan tindakan saya. Ketika itulah
berlaku satu kejadian pelik yang tidak pernah saya bayangkan sebelum ini.
Tiba-tiba air susu berwarna putih dan berbau busuk mula
meleleh dari mulut saya tanpa henti. Air susu masam itu jatuh membasahi dagu
saya setiap detik tanpa henti.
Ayah juga merasa hairan melihat susu aneh tiba-tiba meleleh
dari mulut saya. Setiap kali dikesat, air susu itu meleleh lagi tanpa henti.
Ibu pula masih tidak endahkan saya.
Keesokan harinya saya masih lagi demam dan susu masih lagi
mengalir. Kali ini lebih teruk. Ayah membawa saya ke sebuah klinik.
Anehnya selepas diperiksa, doktor juga mengatakan hairan,
mengapa susu masam itu meleleh dari mulut saya. Doktor pun tidak dapat
menjelaskan punca dan sebab saya mengalami penyakit aneh ini. Doktor juga
mengatakan tiada ubat untuk merawat penyakit yang saya alami ini.
Ayah bawa pula saya ke hospital besar di Bandar.
Keputusannya tetap sama juga apabila doktor tidak dapat mengenal pasti punca
penyakit saya. Jadi saya dibawa pulang semula dan terbaring siang malam. Selama
sebulan saya terlantar ibu mulai risau dengan keadaan saya yang semakin kurus
ini. Ibu beberapa kali meminta maaf kepada saya kerana tidak menyangka
kata-kata yang dilafazkannya betul-betul menjadi kenyataan.
Akhirnya ibu sendiri pergi berjumpa dengan seorang ustaz di
kampong saya. Ustaz ini memang dikenali ramai kerana kealiman dan kehebatan
ilmunya. Ibu membawa ustaz ini berjumpa saya di rumah. Apabila ustaz melihat
keadaan saya, beliau terus menggeleng-gelengkan kepala.
“Ada tak apa-apa yang ibu kamu buat sebelum terkena penyakit
ini?” Tanya ustaz itu. Ayah lalu menceritakan tentang perbuatan saya menyimbah
air panas ke muka ibu. Selepas itu, ibu terus mengeluarkan kata-kata sumpahan
tentang air susu yang pernah di minum ketika saya masih bayi.
Sekali lagi ustaz itu menggeleng-gelengkan kepalanya. Ustaz
itu dalam nada perlahan memberitahu saya terkena sumpahan ibu. Ustaz itu lalu
mengajak ibu dan ayah saya ke dapur.
Ustaz itu menerangkan penyakit saya tidak ada ubatnya
kecuali meminum air bekas celupan tapak tangan dan tapak kaki ibu. Ustaz itu
menyuruh ibu membasah kedua-dua tangannya di dalam baldi diikuti kedua-dua
belah kakinya seperti orang mengambil wuduk.
Ustaz itu menerangkan penyakit saya tidak ada ubatnya
kecuali meminum air bekas celupan tapak tangan dan tapak
kaki ibu.
Setelah selesai, ustaz itu menyuruh ibu meludah di dalam
baldi itu sebanyak tiga kali. Kemudiannya air ludah di dalam baldi itu disimpan
di dalam sebuah bekas khas. Utaz itu berpesan kepada ibu supaya memberi air
ludah itu untuk diminum oleh saya dan selebihnya disapu di ubun-ubun kepala
saya sehingga habis.
Selepas ibu memberi minum dan menyapu air ludah itu di
kepala, pada masa itu juga saya terus merasa lapar dan meminta nasi untuk
dimakan. Selera saya yang tersekat selama sebulan lebih datang kembali. Mujarab
sungguh cara rawatan ustaz ini. Serta merta air susu masam yang meleleh sejak
sebulan lalu berhenti mengalir.
Saya mencium kaki ibu. Saya menangis. Saya menyesal berdosa
kepada ibu. Ibu memberitahu sejak kejadian, ibu telah memafkan perbuatan saya.
Ibu memeluk saya dan kami bertangis-tangisan di depan ustaz. Ustaz itu
membacakan doa dan menasihati ibu supaya tidak mengeluarkan kata-kata sumpahan
terhadap anak. Ustaz itu mengingatkan bahawa sumpahan seorang ibu amat ampuh
dan berkesan terhadap seorang anak. Akibatnya sangat buruk dan tiada penawarnya
kecuali anak itu diberi ampun selain meminum air kaki dan tangan ibunya dengan
ikhlas dan redha.
Sejak hari itu, saya tidak lagi meninggikan suara kepada
ibu. Ibu juga sedar kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini. Yang paling
penting, ibu tidak lagi sesombong dahulu! Ibu juga tidak kedekut dan suka
menghina orang susah.
Saya ingin berpesan kepada pembaca, jangan sesekali
bertindak biadab terhadap ibu biar sejahat mana sekalipun ibu kita. Saya sudah
merasai betapa sengsara, merana dan terasa ajal hendak tercabut akibat disumpah
ibu. Ingat, sumpahan seorang ibu itu adalah benar kerana ianya telah
benar-benar menimpa keatas diri saya sendiri.
‘Saya’ dalam artikel ini adalah Roseyatimah bt Ahmad,
berasal dari Sabah. Kejadian berlaku ketika beliau berusia di awal remaja. Kini
beliau telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Walaupun berjauhan, Rose tetap sayang
dan menghormati ibunya.