Seremban – “Saya bukan cari publisiti.” Demikian kata Abil
Fikri Ahmad, 43, yang kesal dengan tanggapan sesetengah pihak yang menuduhnya
cuba mengambil kesempatan atas penderitaan isterinya, Fauziah Muhamad. Perkara
ini timbul apabila dia mula melakarkan perjalanan hidupnya menjaga Fauziah, 38,
yang menderita akibat kerosakan saraf pada otak, menerusi blog sejak April
lalu.
Abil menjadikan laman blog yang didaftarkan atas nama
‘abil4fauziah’ sebagai diari.
Abil berkata, satu kiriman pesanan ringkas diterimanya
sebelum ini cukup meruntun hatinya apabila ada pihak menuduhnya mencari publisiti
atas kesengsaraan dialami isterinya.
“Saya kecewa. Saya tak sangka ada pihak sanggup menuduh saya
sedemikian rupa,” katanya yang tidak pernah terfikir untuk mengambil kesempatan
atas keadaan isterinya.
Dia berkata, SMS yang diterima lebih kurang berbunyi, “Encik
Abil saja reka cerita nak cari publisiti ke? Buat blog untuk ‘promote’ diri?
Nak tunggu dapat anugerah suami mithali? Supaya dapat gelaran Datuk?”
“Saya terkilan apabila ada pihak yang menuduh saya
sebegitu,” katanya dengan nada penuh kesal sambil beristighfar panjang.
Ceritanya, SMS itu diterima Jun lalu daripada insan yang
tidak dikenali dan dia cuba menerangkan dengan cara baik, namun gagal.
“Saya buat blog ini atas nasihat kawan, selain saya mahu
apabila dia sihat nanti, blog ini dapat menjadi tukang cerita kerana memorinya
hilang sepanjang dia sakit,” katanya.
“Melalui blog yang saya kemas kini tiga hari seminggu ini
juga saya dapat mengumpulkan dana untuk isteri saya. Apabila mereka membaca,
sebahagian besar mereka menyumbang.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih dengan kemurahan
hati mereka. Dana yang saya kumpulkan untuk isteri saya tidak pernah saya salah
gunakan. Semua untuk dia,” jelasnya.
Abil menambah, baju raya mahu pun kasut raya tidak dibeli
sejak tahun lalu.
Katanya, Baju Melayu yang digunakan pada hari pernikahan
mereka sekitar tiga tahun lalu menjadi baju Aidilfitri tahun ini.
“Saya langsung tidak membeli apa-apa keperluan untuk diri
saya kecuali makan dan minum,” ujarnya.
Menurutnya, hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas semua
bantuan dan pertolongan yang diberikan bagi meringankan bebannya menjaga isteri
tercinta. "Alhamdulillah, Tuhan bukakan pintu hati orang ramai
kerana sudi membantu saya sehingga ke hari ini.
“Saya yakin, setiap kesusahan ada jalan keluar. Jika Tuhan
memberi saya dugaan sebesar ini, Dia pasti akan membantu saya juga,"
katanya.
Kata Abil, dia tidak pernah berhenti berdoa agar Tuhan
sentiasa memberi kekuatan kepadanya agar dapat terus menjaga isteri dengan
mudah tanpa sebarang kesulitan.
Bercakap soal raya, Abil begitu teruja menceritakan
kemeriahan Aidilfitri tahun ini.
“Meskipun keadaan isteri saya begini, namun saya sangat
gembira.
“Ahli keluarga semuanya pulang ke Seremban dan memasak makanan
hari raya bersama-sama. Sangat berbeza dengan tahun lalu,” katanya.
Menurut Abil, tahun lalu merupakan sejarah di mana bulan
Syawal ‘diiringi’ kemurungan dan kesedihan. Namun dia percaya ALLAH akan
menggantikan kesedihan dengan kebahagiaan tahun ini.
Beralih kepada topik kahwin, Abil ketawa kecil apabila
soalan berkaitan diajukan.
“Kahwin lain? Kalau saya suka kahwin-kahwin, dah lama saya
kahwin. Tidak perlu tunggu berumur 40 tahun baru nak kahwin,” katanya.
Cinta pandang pertama. Menurut Abil, ramai rakan-rakan terdekat yang mencadangkan
agar dia berkahwin lain, namun dia menolak.
“Perempuan berkahwin supaya ada seseorang menjaga dia, jadi
saya menjalankan apa yang diamanahkan.
“Saya tak rasa saya mampu memberi fokus kepada dia sepenuh
masa jika saya berkahwin lain,” katanya.
Tambah Abil, sebelum ini Fauziah pernah bertanya, “kalau
saya sakit tak boleh bangun, awak kahwin lain tak?”
Ketika itu Abil tidak mampu menjawab kerana dia tidak boleh
memberi jawapan.
“Kini, saya boleh jawab. Selagi dia isteri saya, walaupun
rupa dia berubah, saya tetap sayangkan dia. Kalau saya tak sayang dia, boleh
saja saya hantar dia ke kampung dan setiap bulan saya kirim duit.
"Apapun, susah senang biarlah bersama. Jika ini bahagian
yang perlu saya tempuh bersama isteri, saya redha. Semuanya sudah tertulis,
segala perjalanan hidup saya telah pun disusun oleh ALLAH SWT. Kini, saya hanya
mengikut rentak yang telah ditentukan coraknya oleh Tuhan
untuk saya dan isteri,” katanya.
Penat itu normal
Sementara itu, Abil menolak apabila rutin hariannya itu
dikaitkan dengan rasa bosan, penat dan tertekan.
“Tak ada kerja di dunia ini yang tak penat. Tak kerja pun
penat. Penat itu normal.
“Saya dah tahu saya akan rasa penat, muak, bosan dan tertekan,
jadi saya sudah ubah perasaan itu jadi penghibur hati sejak awal. Saya kawal
hati saya,” jelasnya. Menerima pelbagai bentuk sokongan daripada orang ramai
membuatkan dirinya lebih bersemangat menjalankan rutin hariannya.
“Saya semakin bersemangat setiap hari. Ada yang SMS ada yang
telefon ada yang tinggal pesanan di laman sosial. Terima kasih untuk
keprihatinan anda semua,” katanya.
Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menyalurkan bantuan
kepada Fauziah melalui akaun Maybank 1551-7109-4087 atas nama Abil, atau
menghubungi Abil ditalian 016–2634258. -SH
No comments:
Post a Comment