Sunday, 9 September 2012

Ketenteraman hati...



Seseorang yang menjalani hidup dengan hanya melihat bahawa Tuhan ialah Tuhan dan aku ialah aku, sama sekali tidak sama dengan seseorang yang hidup di atas muka bumi ini dengan mengenal Tuhan ialah satu-satunya Tuhan, dan aku ialah hamba ciptaan-Nya.

Manusia yang menyedari bahawa sentiasa ada kudrat Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang serta yang sentiasa berkata: Wahai hamba-Ku. Mintalah kepada-Ku. Akan Ku penuhi segala permintaan kamu! Tentulah tidak sama dengan seseorang yang hanya melihat hidup ini hanya antara aku dan kemampuanku!

Seorang anak kecil akan selamat dan tenang apabila di sisi ibu dan bapanya. Bukan sekali kita melihat senario seorang kanak-kanak yang menangis kerana terpisah daripada ibu dan bapa ketika membeli-belah di pasar raya. Kenapa? Adakah kerana fizikalnya cedera? Tentu tidak, tetapi `ketenteraman' dan `ketenangan hatinya' yang tercedera.

Kita juga pernah melihat bagaimana seorang anak kecil yang menangis kerana lututnya berdarah kerana jatuh, berhenti menangis hanya kerana si ibu berkata: `Dah, jangan menangis sikit je tu! Nanti ibu sapukan ubat!'

Adakah dengan berkata demikian, sakit lukanya hilang? Tidak! Sakit luka pada lututnya masih terasa tetapi tangisannya terhenti kerana rasa sakit pada jiwa dan emosinya diubati dan hilang diganti dengan rasa tenteram. Ini menunjukkan ketenteraman hati dan ketenangan hidup adalah satu kuasa ajaib yang diperlukan dalam hidup.

Dan, adalah satu hukum serta prinsip alam, seseorang itu akan berasa aman dan tenang apabila mengetahui yang di sana ada satu kuasa yang mampu mengatasi segala kebimbangan dan rasa terancam.

Seorang yang genius sekalipun, tanpa kemantapan dan kecemerlangan emosi tidak dapat menggunakan kepintaran dan ketinggian IQ dengan betul jika jiwanya bercelaru dan tidak mantap. Mereka yang memiliki ketenangan jiwa dapat menghadapi hidup dan masalah hidup dengan penuh ketenangan dan ketertiban.

Bukan semua orang dapat menjadi pandai tetapi semua orang boleh menjadi bijaksana. Allah, Tuhan yang menciptakan manusia malah seluruh alam ini menyatakan sebagai satu prinsip: Bukankah dengan berzikir kepada Allah itu, hati akan menjadi tenang? (Surah Ar-Ra'd: Ayat 28).

Berzikir mempunyai maksud luas, iaitu menyebut dan mengingati Allah, merasakan kehadiran-Nya dan berasa keagungan-Nya setiap masa dan keadaan. Seseorang yang melihat Tuhan dengan segala kebesaran dan kekuasaan-Nya berada hampir dengan dirinya, pasti akan berasa tenteram dan aman.

Mereka yang benar-benar membina kekuatan dan nur kerohanian yang jernih, pasti tenang hidupnya dan dapat kekentalan serta keharmonian emosi. Tuhan berfirman: Dialah yang menurunkan `sakinah' ke hati orang-orang yang beriman! (Surah Al Fath: Ayat 4). Erti sakinah ialah ketenangan yang kekal.

Jika demikian, sudah tentu di dalam apa yang diperintah-Nya itu, ada alat untuk membolehkan kita membawa dan membina ketenangan hati, seperti amalan zikrullah, solat, tafakkur, amalan doa dan wuduk.

***Semoga hati kita tidak buta daripada melihat dan merasai kebesaran Allah, Tuhan seru sekalian alam***

No comments: